February 20, 2016

Gempar jeritan api

Hospital Pakar MUIP di Jalan Gambut berdepan detik cemas apabila sebuah bilik di bangunan itu terbakar.

Kuantan: “Sebaik mendengar bunyi penggera keselamatan, saya dan rakan terus membawa tiga bayi turun melalui tangga.

“Ini bagi mengelak kejadian tidak diingini,” kata jururawat Hospital Pakar (Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, (MUIP) di Jalan Gambut di sini, Norashikin Musa, 27.

Dia antara 25 kakitangan dan 11 pesakit di hospital itu yang terpaksa mengosongkan bangunan empat tingkat berkenaan selepas bilik perkakasan elektrik di tingkat satu hospital itu terbakar, jam 10.50 malam, kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.

Norashikin berkata, ketika kejadian, dia dan beberapa jururawat bertugas di Wad Sakinah di tingkat empat hospital itu.

Menurutnya, ada lima pesakit perempuan termasuk dua bayi lelaki dan perempuan masing-masing berusia lima dan dua hari di wad berkenaan.

Selain itu, katanya, ibu bayi berkenaan turut ditempatkan di wad sama bersama-sama seorang lagi bayi berusia tujuh bulan.

“Apabila semua pesakit berjaya keluar dari bangunan hospital empat tingkat ini, kami diberitahu asap keluar akibat kebakaran kecil di bilik yang menempatkan perkakasan elektrik di tingkat satu,” katanya.

Seorang saksi, Zulheimi Mahadi, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di wad di tingkat dua dan menemani isterinya, Ratna
Annrosly, 23, yang melahirkan bayi perempuan, jam 5.30 petang kelmarin.

“Saya dengar jeritan api dan terus mendapatkan isteri untuk membawanya ke tempat selamat.

“Bayi kami dibawa keluar dari bangunan oleh jururawat.

“Saya bersyukur semuanya selamat dan isteri serta anak dipindahkan ke hospital lain untuk sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pengurusan hospital memaklumkan kejadian itu, jam 10.56 malam.

Beliau berkata, susulan itu empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dengan dua pegawai serta 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain bangunan berkenaan.

“Api dapat dikawal pada jam 11.17 malam. Bagaimanapun, kita tidak membenarkan kakitangan memasuki bangunan selepas kejadian bagi memastikan bangunan itu benar-benar selamat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, api berpunca daripada bilik perkakasan elektrik di tingkat satu bangunan berkenaan.

myMetro 20 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment