February 1, 2016

Gagal kawal motosikal, melambung masuk dalam van

Pasukan bomba memotong bahagian tertentu van bagi mengeluarkan mangsa.

SERI MANJUNG - Seorang penunggang motosikal melambung masuk ke dalam sebuah van selepas merempuh belakang kenderaan terbabit di Kilometer 3, Jalan Seri Manjung-Lekir berhampiran simpang masuk Taman Hijau, Kampung Cina, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, penunggang motosikal berusia 40 tahun dan penumpang van yang juga warga Indonesia parah dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal itu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh van yang berada di hadapannya.

“Kebetulan ketika kejadian, van itu sedang memperlahankan kenderaannya. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa melambung masuk ke dalam van.

“Mangsa patah tangan dan kaki kanan selain luka-luka di kaki serta tangan,” katanya.

Katanya, kejadian turut menyebabkan penumpang van seorang lelaki warga Indonesia cedera parah di beberapa bahagian badan.

“Kedua-dua mereka dihantar hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut, polis masih menyiasat kejadian ini,” katanya.

Sinar Harian 1 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment