February 13, 2016

Enjin Ekspres Rakyat terbakar lagi

BAHAGIAN enjin kereta api yang terbakar. FOTO ihsan bomba

Taiping: Enjin kereta api Ekspres Rakyat membawa 300 penumpang dari Johor Bahru ke Butterworth, Pulau Pinang terbakar di Kampung Kuala Tanjung, Taiping, 8.30 malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 8.43 malam dan sebaik tiba di lokasi mendapati kebakaran berlaku di enjin di bahagian kepala kereta api berkenaan.

"Ketika operasi pemadaman dilakukan, berlaku insiden dimana seorang penumpang wanita yang mengandung dua bulan mengalami komplikasi dipercayai akibat terkejut dan trauma dengan kejadian itu.

"Pihak kami kemudian bertindak menghantar penumpang berkenaan menggunakan ambulans EMRS ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Mohd Taufiq berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 malam dan operasi itu membabitkan 12 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Kamunting dan Balai Bomba Taiping dengan tiga jentera serta satu ambulans EMRS.

"Kebakaran membabitkan kira-kira 30 peratus bahagian enjin dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Kebakaran membabitkan kereta api Ekspres Rakyat ini adalah kali kedua dalam minggu ini.

Kejadian pertama Selasa lalu membabitkan 310 penumpang yang juga dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Butterworth, apabila enjin pada bahagian kepala gerabak kereta api itu terbakar di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian 2.20 petang, pemandu kereta api itu melecur pada tapak tangan.

myMetro 12 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment