February 28, 2016

Enam rakan ditemui selamat di Gunung Datuk

Mereka ditemui kira-kira satu kilometer dari tapak kaki Gunung Datuk.

REMBAU - Hajat enam rakan sekerja termasuk seorang kenalan perempuan untuk menikmati keindahan puncak Gunung Datuk pada waktu matahari terbit tidak kesampaian apabila mereka mengikuti bukan trek sebenar gunung berkenaan seawal jam 5.00 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fuad Majid berkata, enam sekawan berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun itu ditemui kira-kira satu kilometer dari tapak kaki Gunung Datuk mengikut laluan yang jarang-jarang dilalui pendaki.

Menurutnya, salah seorang daripada mangsa menghubungi talian 999 kira-kira jam 10.00 pagi setelah gagal sampai ke puncak mahupun mencari jalan pulang ke tapak kaki Gunung Datuk.

"Kita memulakan pencarian seawal jam 11.15 pagi mengikut panduan yang diberikan oleh mangsa iaitu mereka berada berhampiran air terjun.  Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi mangsa tiada dan kita meneruskan pencarian melalui Storm (Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia).

"Mangsa berjaya ditemui pada jam 2.45 petang dan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat namun cemas susulan tidak menjumpai jalan keluar," katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, di sini,  hari ini.

Kesemua mangsa berjaya di bawa turun jam 3.25 petang.

Susulan insiden berkenaan, seramai 24 individu terlibat dalam kerja-kerja menyelamat terdiri daripada bomba, JPAM, ranjer hutan dan polis.

Sinar Harian 27 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment