February 11, 2016

Empat sekeluarga nyaris lemas

Keadaan kereta yang dinaiki empat sekeluarga yang terbabas sebelum terjunam ke dalam paya di Jalan Bukit Rokan-Jelai, malam Sabtu lalu.

GEMENCHEH – Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke dalam semak sebelum terjunam ke dalam paya di Jalan Bukit Rokan-Jelai, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa iaitu sepasang suami isteri berusia lingkungan 40-an dan sepasang anak berusia tiga serta lima tahun dipercayai dalam perjalanan dari Melaka ke Kelantan.

Menurut orang awam yang hanya ingin dikenali Ahmad, 40-an, empat sekeluarga berkenaan dikatakan tersesat jalan dengan memilih laluan berkenaan bagi mengelak melalui laluan yang diuar-uarkan ditutup susulan banjir kilat melanda Sungai Kelamah, Gemas.

“Jadi, mereka pertama kali melalui jalan dari Gemencheh ke Bukit Rokan dan seterusnya ingin menghala ke Jelai.  Bagaimanapun, sebaik melalui jalan berselekoh yang dikenali penduduk sebagai selekoh S, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan.

“Kereta mangsa jenis Perodua Myvi terbabas ke dalam semak sebelum masuk ke dalam paya. Mujurlah, si bapa sempat menyelamatkan dua anaknya di tempat duduk belakang dan berenang ke tebing paya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, empat sekeluarga berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Jelai bagi rawatan lanjut dengan bantuan orang awam yang melalui jalan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa telah buat laporan polis berhubung insiden itu.

Sinar Harian 10 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment