February 13, 2016

Empat pemandu ditahan positif dadah

Bagan Serai: "Bos tolong hantar pemandu lain, saya ditahan ni," demikian perbualan telefon seorang pemandu bas yang meminta majikannya menghantar pemandu lain selepas dia ditahan berikutan ujian air kencing yang dijalankan positif dadah.

Pemandu bas terbabit antara empat yang ditahan kerana didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di kawasan Rehat dan Rawat, Bukit Merah, arah selatan malam tadi.

Operasi berkenaan dijalankan dijalankan 58 anggota termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taiping, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian, PLUS dan PROPEL bermula jam 9 malam dan berakhir 12 tengah malam tadi.

Ketua Operasi Penguatkuasaan Lebuhraya Zon Utara Cawangan Trafik Bukit Aman, Asisten Superintendan Hazir Reza Mohd Ghazali, berkata, pemandu bas terbabit yang ditahan itu berusia lingkungan 40-an dan sejumlah 50 saman serta 11 notis dikeluarkan dalam operasi itu.

Menurutnya, 60 kenderaan berat diperiksa iaitu 40 lori dan 20 bas.

"Dari jumlah itu 38 pemandu bas dan lori diarah menjalankan ujian saringan air kencing dan hasilnya empat daripada mereka yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan selepas hasil ujian mereka positif dadah jenis heroin dan syabu.

"Selain itu, 31 saman dikeluarkan pihak polis atas pelbagai kesalahan dilakukan, manakala 19 saman dan 11 notis dikeluarkan pihak JPJ dalam ops terbabit," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

myMetro 12 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment