February 3, 2016

Empat beradik tak sekolah kerana tiada kad pengenalan

Azlan beramah-mesra dengan empat beradik yang tidak mempunyai kad pengenalan.

KANGAR - Ketiadaan kad pengenalan menghalang empat beradik yang tinggal di Jalan Raja Syed Alwi di sini daripada mengikuti sesi persekolahan seperti pelajar lain.

Menurut ibu tiri mereka, Shamsinar Din, 32, dia simpati dengan nasib kesemua anak tirinya yang tidak dapat bersekolah kerana masalah tersebut dan runsing memikirkan masa depan mereka.

“Mereka tak ada kad pengenalan sebab suami saya dan bekas isteri bernikah di Thailand. Lepas tu sijil nikah hilang. Disebabkan sijil hilang, jadi kelahiran mereka tidak dapat didaftarkan.

“Lepas suami bercerai dengan bekas isterinya, baru saya tahu anak-anak tak ada kad pengenalan dan saya rasa bertanggungjawab membantu mereka," katanya.

Bagaimanapun Shamsinar berkata, kesemua anak tirinya, Nur Farina Ellyana, 15; Nur Fatin Farhana, 12; Muhamad Farewz Farhan, 9 dan Nur Puteri Farisha, 5, pandai membaca dan menulis walaupun langsung tidak pernah ke sekolah.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man turut melapangkan masa melawat adik-beradik berkenaan dan akan membantu mereka mendapatkan kad pengenalan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga membawa kesemua adik-beradik tersebut membeli pakaian sekolah bagi membolehkan mereka memulakan sesi persekolahan dengan kadar segera.

Sinar Harian 3 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment