February 8, 2016

Empat anak mengengsot

SHAM (dua dari kanan) berbual dengan seorang kembar yang turut mengalami kecacatan fizikal.

Bagan Serai: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian perumpamaan yang menggambarkan kecekalan pasangan, Abdul Rahman Hashim, 56, dan isteri, Habibah Mat Noon, 52, dari Kampung Tersusun Kuala Gula, di sini, yang mempunyai empat anak berusia 15 hingga 22 tahun berstatus orang kurang upaya (OKU) yang hanya mampu mengengsot.

Lebih malang bagi keluarga ini apabila keempat-empat mereka iaitu Badrul Hamizi, 22, Norhaniza, 19, dan pasangan kembar perempuan, Nur Asyura dan Nur Atikah, 15, bukan sahaja mengalami kecacatan fizikal jenis sama iaitu kedua-dua kaki gagal berfungsi disebabkan masalah saraf, malah turut mengalami penyakit kencing manis.

Abdul Rahman mempunyai 11 anak dan bekerja sebagai nelayan berkata, keempat-empat anak istimewanya itu langsung tidak mampu berjalan dan hanya bergantung kepada kerusi roda sebagai ‘kaki’ mereka.

“Kehidupan kami sekeluarga hanya bergantung harap dari wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan yang diberikan atas nama Badrul Hamizi dan Norhaniza serta ditambah sedikit pendapatan saya sebagai nelayan pantai bagi menyara kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, perbelanjaan perubatan untuk keempat-empat anaknya itu melebihi RM500 sebulan dan tanggungjawab itu dipikul oleh keseluruhan ahli keluarga termasuk Badrul Hamizi yang mengambil upah mengopek isi kerang dengan bayaran sekitar RM10 sehari.

Nasib malang keluarga itu mendapat perhatian kepemimpinan UMNO Bahagian Bagan Serai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Moh Santai dari Taiping yang menyampaikan bantuan keperluan harian.

Dalam kunjungan berkenaan, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat menyumbangkan sebanyak tiga kerusi roda bersama bantuan kewangan manakala 15 wakil ahli NGO terbabit yang hadir pula menyumbang barangan keperluan dapur kepada keluarga itu.

myMetro 8 Feb 2016



0 comments:

Post a Comment