February 16, 2016

Dua blok asrama dijilat api

API marak memusnahkan bangunan asrama lelaki Sekolah Agama Padang Kerasak, Mukim Tekai Naka. FOTO ihsan pembaca

Padang Terap: Dua blok asrama Sekolah Menengah Agama Padang Kerasak, Mukim Tekai, Naka, dekat sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kira-kira 170 penghuni asrama sedang menunaikan solat Asar di tingkat atas bangunan sama, lalu bertindak menyelamatkan diri.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Firdaus Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.17 petang dan tiba jam 5.31 petang.

Beliau berkata, operasi memadam disertai seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dan Alor Setar.

"Setibanya di lokasi didapati api merebak dengan cepat dan berjaya dikawal pada jam 5.52 petang dan dipadam sepenuhnya jam 6.53 petang.

"Kami turut dibantu lapan pasukan bomba sukarela untuk membantu memadam api yang sedang merebak.

"Operasi membabitkan tiga jentera dan sebuah EMRS dari Alor Setar. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya.

myMetro 14 Februari 2016


Hangus semua

ANGGOTA bomba memeriksa lokasi kejadian.

Padang Terap: “Semua peralatan sekolah dan dokumen peribadi termasuk pasport hangus dan kini saya mahu pulang ke rumah ahli keluarga di Jitra sebelum pulang semula ke Hatyai, Thailand untuk menghabiskan cuti seminggu diberikan pihak sekolah,” kata Mohd Mahdi Abdul Hamid, pelajar warga Thailand.

Mohd Mahdi, 15, antara 116 pelajar lelaki Sekolah Menengah Agama As Siddiqiah, Padang Kerasak, Mukim Tekai, Naka, dekat sini yang tinggal sehelai sepinggang selepas dua blok asrama lelaki didiami mereka musnah dalam kebakaran.

“Keluarga saya berada di Hatyai, Thailand dan begitu bimbangkan keadaan saya di sini. Disebabkan itu, saya mahu pulang bercuti di kampung dan akan menyiapkan segala dokumen terlebih dulu.

“Bagaimanapun, kejadian ini tidak menggugat semangat saya meneruskan pengajian kerana bakal menduduki PT3 tahun ini,” katanya.

Semalam, pihak sekolah itu menerima sumbangan berjumlah RM7,200 daripada pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib menimpa mereka.

Sumbangan awal itu untuk kegunaan semua 116 pelajar dan kegunaan pihak sekolah selepas kerugian hampir RM1 juta apabila dua blok bangunan yang menempatkan asrama serta surau musnah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Ahmad Kamel Abdul Munin berkata, beliau yang mewakili Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menyampaikan sumbangan awal RM5,000 untuk kegunaan pihak sekolah itu membeli barangan keperluan.

Beliau meminta Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu untuk meringankan beban pelajar apabila barangan mereka musnah dalam kebakaran itu.

“Buat sementara waktu, semua pelajar terbabit akan ditempatkan di asrama sementara yang kini dalam proses pembinaan untuk memberi perhatian sewajarnya kepada pelajar terbabit supaya dapat terus belajar,” katanya selepas menyerahkan cek, semalam.

Presiden Rozmey Group (RG) Datuk Dr Che Rozmey Che Din turut memberi sumbangan peribadi RM2,000 yang diserahkan kepada pengetua sekolah Mohd Sidek Junus bagi membantu meringankan beban mereka.

Beliau berkata, bantuan susulan akan diberikan sebanyak RM10,000 untuk membeli semula pakaian seragam sekolah untuk 116 pelajar lelaki yang hangus dalam kejadian itu.

myMetro 16 Februari 2016





0 comments:

Post a Comment