February 19, 2016

Doktor Parlimen ghaib

M Kulasegaran (tengah) menunjukkan gambar Sugumaran yang dipercayai hilang dan gagal dikesan sebelum membuat aduan di IPPD Ipoh.

Ipoh: Seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang turut ditugaskan sebagai pegawai perubatan di klinik Parlimen ketika berlangsungnya Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara didakwa ghaib dan gagal dikesan sejak bulan lalu.

Dr B Sugumaran, 50, yang bertugas di klinik Parlimen sejak 10 tahun lalu dan HKL sejak lapan tahun lalu tidak menghadirkan diri ke pejabat Parlimen hingga menimbulkan tanda tanya.

Bimbang dengan kehilangan mangsa, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, semalam mengenai kehilangan doktor yang masih bujang itu.

Kulasegaran berkata, beliau menyedari kehilangan Dr Sugumaran yang tinggal di Taman Seri Rampai, Setiawangsa, Kuala Lumpur selepas dimaklumkan kakitangan awam di klinik Parlimen yang tidak melihat kelibat doktor itu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, usaha kakitangan berkenaan mengesan Dr Sugumaran menemui jalan buntu meskipun sudah menghubungi ahli keluarga terdekat dan rakan rapatnya.

“Beliau (Dr Sugumaran) bukan saja doktor peribadi saya, malah rakan baik dan turut menjadi doktor peribadi kepada 222 Ahli Parlimen di negara ini.

“Kehilangannya secara tiba-tiba tanpa berita menimbulkan tanda tanya dan saya bimbang berlaku perkara tidak diingini kepadanya.

“Rakan malah ahli keluarganya juga tidak mengetahui kehilangannya dan beranggapan beliau sibuk bekerja,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, difahamkan kali terakhir Dr Sugumaran bertemu ibu bapanya, 3 Januari lalu.

Menurutnya, beliau memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menerusi WhatsApp.

“Dr Subramaniam terkejut dan memberitahu kali terakhir melihat Dr Sugumaran pada Disember tahun lalu dan beliau akan memeriksa semula mengenai hal itu.

“Telefon bimbitnya berbunyi ketika dihubungi sebulan lalu, namun sekarang tidak lagi berdering, sebaliknya taliannya tidak disambungkan,” katanya yang berharap polis dapat menyiasat dan mengesan doktor berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Anuar Othman mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan bukan di bawah bidang kuasa pihaknya dan menyerahkan laporan kes itu kepada polis di ibu negara untuk tindakan lanjut.

myMetro 18 Februari 2016


Pasukan khas siasat kehilangan Dr Sugumaran

Dr Sugumaran hilang lebih sebulan. FOTO Farah Suhaidah Othman

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat mengenai Dr B Sugumaran yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, berkata pasukan ini akan menjalankan siasatan menyeluruh meliputi semua aspek dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

"Setakat pagi ini, belum ada sebarang petunjuk baru mengenai kehilangan beliau (Sugumaran).

"Kita baru menerima laporan (kehilangan) kelmarin dan petunjuk yang ada juga tidak mengaitkan sebarang unsur jenayah dan kes masih disiasat sebagai orang hilang," katanya ketika ditemui di pekarangan KL Sentral pagi tadi.

Menurutnya, pemeriksaan di sebuah hotel bajet di Batu Caves semalam hanya menemui beg pakaian dan telefon bimbit milik mangsa.

myMetro 19 Februari 2016


Dr. Sugumaran ditemui selamat

KUALA LUMPUR – Tanda tanya kehilangan seorang pegawai perubatan yang bertugas di klinik Bangunan Parlimen sejak awal Januari lalu terjawab apabila dia ditemui dalam keadaan selamat di Hotel Sakura Jalan Pudu di sini semalam.

Dr. B. Sugumaran, 50, ditemui pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.30 malam dalam salah sebuah bilik hotel berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati, doktor terbabit telah menginap di hotel berkenaan sejak 16 Februari lalu.

“Bertindak atas risikan yang dilakukan pihak polis menyerbu hotel tersebut dan berjaya menemui doktor itu. Dia berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo 20 Feb 2016







0 comments:

Post a Comment