February 18, 2016

Ditinggal separuh bogel tepi jalan


Kuala Lumpur: Seorang pensyarah kolej bukan saja terpaksa berputih mata apabila kereta Honda Accord miliknya dilarikan dua lelaki tidak dikenali di Batu Caves, hari ini, malah ditinggalkan di tepi jalan tanpa baju, stokin dan kasut.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata ketika kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 59 tahun berada di depan rumahnya.

Beliau berkata seorang suspek meletakkan pisau pada leher mangsa dan mengarahkannya memandu kereta itu menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum berhenti di sebuah stesen minyak.

Menurutnya, tiba di stesen minyak berkenaan suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM sebanyak RM2,000.

"Mangsa kemudian dipaksa untuk terus memandu dan diarah berhenti di sebuah kawasan semak sebelum seorang suspek membawa mangsa keluar dari kereta dan mengarahkannya membuka baju, stokin dan kasut.

"Mangsa berjaya melarikan diri daripada suspek walaupun dikejar sebelum suspek melarikan kenderaan itu.

"Pensyarah itu menghubungi anaknya yang membawanya ke balai polis untuk membuat laporan," katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.
BERNAMA

myMetro 17 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment