February 11, 2016

Diserang ribuan ulat bulu

ROMPIN – Seorang warga emas mengalami kegatalan di seluruh badan selepas rumahnya di Kampung Sarang Tiong, di sini diserang ribuan ulat bulu sejak 2 Februari lalu.

Timah Mad Tahar, 63, berkata, sepanjang mendiami rumah itu sejak 30 tahun lalu, dia tidak pernah mengalami masalah seperti itu.

Menurutnya, dia kini buntu mencari kaedah bagi menghalang kesemua ulat bulu itu daripada terus menyerang rumahnya.

Katanya, walaupun banyak yang sudah ditangkap dan dibunuh serta ditanam namun jumlah binatang itu tidak berkurangan.

“Rumah ini makcik duduk sejak 30 tahun lalu dan serangan ulat bulu ini disedari Selasa minggu lalu selepas makcik rasa badan gatal-gatal hingga perlu pergi klinik.

“Rasa gatal disebabkan ulat bulu ini agak bisa, bukan jenis yang biasa-biasa kerana bahagian badan yang gatal tu rasa panas.

“Pagi ini (semalam) sahaja makcik tangkap hampir 300 ekor dan paling banyak ditangkap semalam (kelmarin) iaitu kira-kira 1,000 ekor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Timah berkata, dia tidak tahu dari mana datangnya kesemua ulat bulu berkenaan, namun percaya ia diterbangkan angin dari pokok ara berhampiran rumah kerana daun-daunnya dilihat seperti dimakan ulat.

Katanya, pihak berkaitan diharap tampil membantu menyelesaikan masalah itu kerana dia bimbangkan kesihatan dirinya.

“Ada cadangkan sembur racun serangga dan ada juga suruh curah minyak tanah tapi makcik tak pasti tindakan itu boleh selesaikan masalah ini atau tak,” katanya.

Sinar Harian 10 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment