February 3, 2016

Didakwa pecah amanah hampir RM85 juta

Ampang: Ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 48 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan, termasuk menipu ahli lembaga pengarah dan pecah amanah syarikat minyak dan gas membabitkan hampir RM85 juta, antara 2012 hingga 2014.

Tertuduh, Ooi Kock Aun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suraiya Mustafa Kamal.

Bekas pengarah Syarikat Protasco Bhd yang memakai kot dan kemeja putih itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu ahli lembaga pengarah dan pegawai syarikat Protasco Bhd, dengan sengaja menyembunyikan maklumat bahawa tertuduh mempunyai perkaitan terus dengan sebuah syarikat yang diperbadankan di Indonesia iaitu PT Anglo Slavic Utama, sehingga mendorong mangsa memasuki satu perjanjian pelaburan dalam perniagaan minyak dan gas di Indonesia melalui pembelian 63 peratus saham syarikat PT Anglo Slavic Indonesia yang bernilai USD22 juta (RM68, 393, 170) dengan PT Anglo Slavic Utama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Protasco Bhd, tingkat 2, Corporate Building Unipark Suria, Jalan Ikram-Uniten, Kajang, di sini antara November 2012 sehingga 30 Jan 2014.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

myMetro 3 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment