February 23, 2016

Dibelasah selepas tegur suami balik lewat

KUALA TERENGGANU- Gara-gara menegur suami kerana balik lewat, seorang isteri ditampar dan ditendang di perut sehingga mengalami kecederaan, dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Alamanda, Chendering, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, mangsa, 28, yang sedang berehat di rumah dikatakan telah menegur suaminya, 30, yang ketika itu baru sahaja pulang setelah hampir separuh hari keluar rumah.

Menurut sumber, bukan sahaja bertanyakan kenapa pulang lewat, malah dalam masa sama mangsa dipercayai turut memarahi dan melarang suspek agar tidak berbuat demikian pada masa akan datang.

“Teguran dan bebelan mangsa menyebabkan suspek naik angin dan berlakunya pertengkaran mulut di antara pasangan suami isteri terbabit.

“Suspek yang gagal mengawal emosinya turut bertindak kejam apabila tergamak menampar muka dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan tangannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, suspek yang memang terkenal dengan sikap panas barannya sebelum ini turut menendang di bahagian perut mangsa tanpa belas kasihan meskipun dalam masa sama, mangsa merayu agar tidak diapa-apakan lagi.

“Kekejaman suspek telah menyebabkan mangsa mengalami bengkak di kepala serta kecederaan iaitu sakit-sakit di seluruh badan akibat ditendang tanpa perikemanusiaan.

“Setelah puas melepaskan amarahnya, suspek meninggalkan mangsa dalam kesakitan bersendirian di rumah,” katanya.

Jelas sumber, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis selepas insiden tersebut kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang.

Mangsa turut mendakwa sebelum ini, suspek sering bertindak sedemikian terhadapnya setiap kali ingin melepaskan amarah, namun disebabkan ingin menjaga keharmonian rumahtangga, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Sinar Harian 23 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment