February 25, 2016

Dibelasah berebut tempat tidur

ANGGOTA JPAM memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera dipukul.

Kuala Lumpur: Seorang gelandangan terkoyak kulit kepala akibat dipukul individu tidak dikenali selepas mereka berebut tempat tidur.

Dalam kejadian 5 petang semalam, mangsa, M Murugayah, 37, berasal dari Pantai Remis, Perak ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di Lebuh Pasar Besar berhampiran Agrobank, di sini.

Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.05 petang sebelum sepasukan anggota JPAM dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota JPAM di lokasi kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring separuh sedar.

“Mangsa mengadu sakit di bahagian tangan selain mengalami kecederaan serius di kepala,” katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa berebut lokasi tempat tidur dengan seorang lelaki sebelum diserang menggunakan objek tumpul.

“Penyerang kemudian melarikan diri sejurus memukul mangsa.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

myMetro 24 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment