February 22, 2016

Di sebalik suara gamit pendengar

Mohd Hafiz (kanan) dibantu Nooraini sebagai DJ secara atas talian di rumahnya di Taman Seraya, Changlun.

Changlun: Suaranya sering berkumandang di radio online Mai Ceq Mai FM sejak lima bulan lalu yang kini sudah mencecah 2,000 pendengar di seluruh negara sebagai penyampai, namun ramai tidak mengetahui keadaan fizikalnya apabila buta mata kiri manakala mata kanan kabur sejak lahir akibat masalah saraf mata.

Malah, Mohd Hafiz Yusoff, 33, atau lebih dikenali DJ Dunia dalam kalangan pendengar juga menggunakan cermin mata khas bagi membolehkan dia melihat tulisan di komputer ketika bertugas dari dalam bilik tidurnya yang dijadikan konti di rumah kakaknya Nooraini, 37, di Taman Seraya, di sini.

Mohd Hafiz berkata, dia yang mengalami kesukaran membaca menyebabkan lebih banyak menggunakan kaedah hafalan kerana amat meminati dunia penyampai radio sejak kecil.

“Malah, keluarga dan rakan-rakan yang mengesan bakat saya banyak memberi dorongan sehingga akhirnya saya mula menceburi bidang penyiaran pada 2008 sekadar suka-suka melalui stesen radio Gegar FM.

“Sejak itu minat saya dalam dunia ini semakin terserlah tambahan ia dapat mengisi masa lapang dan menghiburkan orang ramai walaupun saya tidak mendapat bayaran,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan tinggal bersama kakaknya sejak 2002.

Menurutnya, dia juga terpaksa bergantung pada cermin mata khas yang dibuat oleh rakan bapanya bagi membolehkannya melihat dan membaca menggunakan mata kanan.

“Walaupun diri ini tidak sempurna seperti insan lain, namun ia bukanlah penghalang untuk saya mengejar cita-cita dalam bidang diminati.

“Malah, kini rakan paling hampir dengan saya adalah Internet kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah dan melaluinya (Internet) saya mendapat kenalan melalui media sosial selain menghiburkan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, dia sudah menabur bakti di beberapa stesen radio online seperti Gegar FM, Desa FM, Pokpet FM dan terbaru Mai Ceq Mai FM sejak 2008 hingga kini.

“Lebih membanggakan pendengar saya bukan sahaja di dalam Negara, malah rakyat Malaysia yang tinggal di Australia dan Amerika Syarikat juga melayari stesen radio Mai Ceq Mai FM.

“Artis seperti arwah Pak Yus Jambu dan Ropie juga pernah menjadi tetamu saya ketika bersiaran dan ini menjadi satu penghargaan,” katanya yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Katanya, impiannya suatu hari nanti mahu bergelar penyampai radio profesional dan memiliki pendapatan sendiri melalui kerjaya berkenaan kerana tidak mahu selama-lamanya bergantung kepada keluarga.

“Malah, jika boleh saya juga ingin mempunyai set PA Sistem sendiri yang boleh digunakan untuk menjadi deejay pengacara majlis suatu hari nanti.

“Namun, hasrat itu masih belum dapat direalisasikan kerana kekangan kewangan tambahan pula memerlukan bantuan rakan atau ahli keluarga kerana keadaan diri yang sedikit sukar untuk bergerak sendiri,” katanya.

Selain itu, dia juga memasang angan-angan ingin bertemu dengan idolanya iaitu Datuk Aznil Nawawi dan penyampai radio Isma Halil Hamzah yang popular suatu ketika dulu ketika bersama stesen radio THR.

myMetro 22 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment