February 28, 2016

Derita bertahun masalah tiada air

Kyairul Alif Najmi kecewa apabila masalah air masih tidak selesai dan menyusahkan pelajar.

ARAU - Sudah pelbagai laporan dan cadangan dibuat kepada pihak berwajib, namun sehingga ke hari ini, masalah ketiadaan air di asrama Kolej Vokasional Arau (KVA) masih membelenggu 454 pelajar di situ sejak beberapa tahun lalu.

Pelajar asrama, Kyairul Alif Najmi Kyairul Nizam, 17, berkata, mereka terpaksa menanggung derita akibat ketiadaan air di asrama.

"Asrama di sini ada tiga tingkat dan semua tingkat tak ada air.

"Semua pelajar perlu turun ke bawah untuk mandi dan aktiviti lain," katanya.

Walau bagaimanapun katanya, tekanan air di aras bawah juga amat menyedihkan.

"Kalau nak mandi atau buang air a memang kena bagi baldi penuh dulu.

"Masalah ini bukan sehari dua berlaku tapi dah bertahun-tahun," katanya.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan pernah lewat ke kelas kerana terpaksa beratus panjang untuk mandi.

"Keadaan yang berpanjangan seperti ini membuatkan semangat kami makin rendah," katanya.

Muhammad Ameer Hakim Hamzani Anuar, 18, pula berkata, dia yang sudah dua tahun berada di situ agak tertekan dengan masalah itu.

"Ada juga pelajar baru yang trauma bila tak ada air dan hanya bertahan seminggu saja di kolej ini.

"Pelajar datang sini nak belajar dengan selesa, tapi bila asyik tak ada air, siapa yang sanggup?," katanya.

Menurutnya, rata-rata pelajar asrama hanya menggunakan air di aras bawah untuk mandi dan keperluan penting.

"Untuk cuci baju, kami kumpul pakaian kotor dan kongsi duit hantar ke dobi.

"Kami bukan orang senang, duit hanya cukup untuk belanja makan. Disebabkan masalah air ini, kami terpaksa guna duit belanja makan untuk hantar baju ke dobi," katanya.

Manakala Mohd Faris Azmi, 17, berkata, kantin asrama turut terjejas apabila berdepan masalah menyediakan makanan kepada pelajar.

Menurutnya, pihak pengurusan kolej sudah melakukan pelbagai aduan kepada pihak berwajib tetapi keadaan masih sama.

"Saya terpaksa balik kampung setiap minggu untuk cuci baju tapi kesian dengan rakan-rakan lain yang terpaksa hantar baju ke dobi," katanya.

Sinar Harian 27 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment