February 11, 2016

Dendam lama punya pasal

PETIKAN daripada video pergaduhan yang tersebar menerusi WhatsApp. FOTO ihsan pembaca

Tawau: Sembilan remaja lelaki termasuk lapan pelajar di sekolah menengah di sini, ditahan polis selepas video pergaduhan berdurasi 39 saat tersebar di aplikasi WhatsApp.

Difahamkan kejadian pergaduhan berlaku pada 4 Februari lalu kira-kira 12.30 tengah hari selepas tamat acara sukan tahunan di sekolah berkenaan dan berlaku kekecohan apabila beberapa pelajar dilihat bergaduh di hadapan pagar sekolah.

Sehubungan itu, kes berkenaan dilaporkan kepada pihak polis pada Isnin lalu sebelum sembilan remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun itu ditahan dalam tiga tangkapan berasingan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes terbabit daripada seorang guru di sekolah berkenaan yang menerima satu video pergaduhan membabitkan sembilan remaja di sekolah menerusi aplikasi WhatsApp sehari selepas kejadian.

"Sembilan remaja iaitu lapan pelajar sekolah dan seorang lagi bekas pelajar sekolah berkenaan ditahan untuk siasatan. Hasil siasatan, pergaduhan dipercayai bermotifkan dendam lama dan perselisihan faham pelajar.

"Semua mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan masing-masing diambil. Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

myMetro 10 Feb 2016


0 comments:

Post a Comment