February 3, 2016

Curi lampu lif nak hias rumah

Kajang: Seorang lelaki mencuri tiga lampu lif di kondominium yang dihuninya di Seksyen 6, Bandar Mahkota Cheras, di sini, semalam, semata-mata mahu menghias rumahnya sempena Tahun Baru Cina minggu depan.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, pengawal keselamatan kondominium berkenaan ternampak suspek melalui rakaman kamera tertutup (CCTV) dalam keadaan mencurigakan memegang objek keluar dari lif tingkat 11 itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pengawal keselamatan berkenaan segera ke tingkat 11 kondominium itu sebelum menemui suspek membawa lampu yang dicuri dari lif.

"Suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pakar servis alat penyaman udara itu mencuri tiga lampu bernilai kira-kira RM60.

"Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku mahu menghias rumahnya sempena Tahun Baru Cina dengan memasang lampu yang dicuri itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 kerana mencuri di dalam bangunan.

myMetro 2 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment