February 19, 2016

Cemburu berasap


Kajang: Akibat cemburu, seorang isteri tergamak menyimbah asid ke badan suaminya di rumah mereka di Taman Megah, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, beberapa hari sebelum kejadian, wanita berusia 51 tahun itu memeriksa telefon bimbit suaminya yang berusia 47 tahun dan rahsia suaminya mempunyai hubungan sulit terbongkar.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, wanita terbabit menyimbah asid yang disimpan di dalam botol.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, anak pasangan berkenaan terdengar jeritan bapanya sebelum mendapati bapanya itu disimbah asid.

"Anak pasangan berkenaan yang berusia 19 tahun segera membawa bapanya ke Hospital Kajang.

"Bagaimanapun, mangsa dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur kerana parah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan kejadian itu, wanita terbabit ditahan di rumahnya pada jam 10 pagi tadi dan polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Kajang esok.

Willey berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata.

myMetro 16 Februari 2016


Mangsa simbah asid temui ajal

KAJANG – Selepas hampir 48 jam bertarung nyawa, seorang pendawai elektrik, G. Manimaran (gambar kecil) yang melecur teruk selepas disyaki disimbah asid oleh isterinya sendiri menemui ajal kelmarin.

Lelaki yang berusia 48 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam kelmarin ketika menjalani rawatan susulan di Hospital Kajang di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard, mangsa didapati melecur sebanyak 64 peratus pada bahagian badan.

“Mangsa meninggal dunia pada pukul 9 malam semalam (kelmarin) ketika menjalani rawatan di Hospital Kajang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini semalam.

Kosmo 19 Feb 2016


0 comments:

Post a Comment