February 11, 2016

Cari kelapa, jumpa mayat

REMBAU - Hajat tiga sekawan mengambil buah kelapa untuk seorang penduduk terbantut apabila salah seorang daripadanya terhidu bau bangkai dari dalam sebuah madrasah lama tidak jauh dari pokok kelapa berkenaan di Kampung Pulau Bintongan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Iskandar Abdullah, 17, segera meninjau ke dalam madrasah berkenaan melalui tingkap di bahagian hadapan madrasah dan terkejut apabila dalam jarak satu meter ternampak sekujur tubuh yang kepalanya sudah tinggal tengkorak sahaja tergantung di pintu tandas.

Menurut Iskandar, dia segera memaklumkan kejadian berkenaan kepada tiga lagi rakannya yang berada di situ dan mereka segera menghubungi polis.

“Madrasah ini sudah lebih empat tahun tidak digunakan. Saya terkejut dan tergamam lihat mayat tergantung yang hanya tinggal tengkorak dan badannya juga dah tinggal tulang dan bersalut sedikit kulit.

“Cumanya, kemeja dan seluar jeans putih yang dipakainya masih elok lagi. Saya hairan kerana di sisi mayat tidak terdapat kerusi, meja atau sebarang objek yang digunakan mangsa untuk menggantung diri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Iskandar berkata, mayat itu juga tergantung menggunakan langsir yang dipercayai langsir milik madrasah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan mayat dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

Menurutnya, bedah siasat bagaimanapun dilakukan pada hari ini dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat berkenaan ditemui pada alang bangunan berkenaan di bahagian bilik air  danmasih lengkap berpakaian.  Namun, tiada pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan yang dijangka sudah lebih tiga minggu mati," katanya.

Sinar Harian 10 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment