February 25, 2016

Buruh maut dibelasah lima berkumpulan

Mangsa dipercayai dibunuh rentetan pergaduhan dengan pengunjung pusat hiburan

BINTULU: Seorang buruh binaan maut selepas dipukul sekumpulan lima lelaki di kawasan belakang sebuah bangunan di Kemena Commercial Centre Tanjung Batu dalam satu kejadian di sini, awal pagi semalam.

Insiden pembunuhan itu dipercayai rentetan pergaduhan mangsa dengan sekumpulan lelaki yang dipercayai pengunjung sebuah pusat hiburan berdekatan sebelum mayatnya ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata, maklumat awal diterima daripada orang awam yang menjumpai seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah sekitar jam 2.50 pagi semalam di belakang bangunan di Kemena Commercial Centre Tanjung Batu.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mangsa terlibat pergaduhan di pusat hiburan berkenaan sebelum melarikan diri ke belakang bangunan dan dipukul dengan objek keras (batu) oleh lima lelaki berkenaan.

“Mangsa merupakan buruh binaan warganegara asing dikenali sebagai Agus Suheda, 21, mengalami kecederaan parah di sebelah kanan kepalanya,” kata Zailanni  dalam kenyataannya di sini semalam.

Beliau berkata, jam 5 pagi semalam di sebuah bilik sewa rumah kedai di Kemena Commercial Centre Tanjung Batu, sepasukan anggota polis menangkap seorang lelaki berumur 29 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil soal siasat ke atas lelaki terbabit membawa kepada rampasan seketul batu dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan telah dibuang ke dalam tong sampah di belakang kedai kawasan terbabit,” jelasnya.

Justeru katanya, permohonan reman akan dibuat ke atas lelaki terbabit semalam dan usaha untuk mengesan suspek lain sedang dilakukan.

Ujarnya, punca kejadian dipercayai mabuk dan berlaku perselisihan faham dengan mangsa semasa dalam pusat hiburan tersebut dan kes terbabit masih dalam siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Borneo 26 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment