February 20, 2016

Biru selepas sehari

ROSMALIA menunjukkan gambar Muhamad Danish Irfan yang mengalami sakit jantung bawaan, TGA.

Kulim: Kegembiraan satu keluarga menerima kehadiran anak lelaki selepas menunggu empat tahun berdepan dugaan berat selepas bayi berkenaan disahkan mempunyai masalah jantung.

Muhamad Danish Irfan Mohd Hanizar, 21 hari, anak bongsu daripada lima beradik disahkan menghidap penyakit jantung bawaan, Transposisi Arteri Besar (TGA).

Ibu bayi berkenaan, Rosmalia Abdullah, 36, dari Taman Makmur, Lunas, di sini, berkata, walaupun kehadiran Danish memberikan berita gembira, namun dia dan suami, Mohd Hanizar Abu Othman, 37, menganggapnya ketentuan Ilahi yang perlu diterima dengan reda.

Menurutnya, semua yang berlaku dianggap ujian kerana kehadirannya selepas empat tahun menunggu kerana keempat-empat anak sebelum ini semuanya perempuan termasuk sepasang kembar berusia empat hingga 12 tahun.

“Kami sekeluarga gembira terutama anak apabila mereka bakal mendapat adik lelaki sehinggalah Danish dilahirkan di Hospital Kulim, 29 Januari lalu.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila jururawat memberitahu badan Danish yang kebiruan pada keesokan hari dan menyangka mungkin dia kesejukan kerana tidak meragam atau menangis kecuali merengek selain enggan menyusu badan.

“Doktor menjalankan pemeriksaan dan menghantar Danish ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan kecil di paha bagi memasukkan belon ke jantungnya untuk memudahkannya bernafas,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Rosmalia yang bekerja sebagai juruwang sebuah pasar mini berkata, anaknya dirujuk ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang dan doktor pakar memaklumkan Danish perlu menjalani pembedahan segera dalam tempoh dua minggu tetapi kos tinggi begitu membebankan mereka.

“Saya dan suami yang hanya bekerja sebagai pesawah terkejut apabila dimaklumkan kos pembedahan RM80,000 jika mahu dilakukan di hospital swasta berkenaan.

“Lebih membimbangkan apabila Danish perlu menjalani pembedahan segera dalam tempoh dua minggu kerana jika lambat mungkin dia akan berdepan masalah lain.

“Bagaimana kami mahu mencari wang sebanyak itu kerana pendapatan kami pun tidak seberapa selain perlu menampung perbelanjaan harian termasuk empat anak lain,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila berjaya mengumpulkan sumbangan RM10,000 selepas kisah bayinya yang perlu menjalani pembedahan dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh rakannya, sekali gus menjadi viral, namun masih belum mencukupi.

myMetro 20 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment