February 19, 2016

Bertarung nyawa setiap kali bernafas

Rushdina menghidap jantung berlubang dan paru-paru dijangkiti kuman.

Kuala Lumpur: “Terseksa jiwa ini setiap kali melihat anak saya yang baru berusia dua bulan bertarung nyawa setiap kali ingin bernafas.”

Itu luahan Siti Nurbaya Rosli, 30, mengenai penderitaan anaknya, Rushdina Nurqhairin yang menghidap jantung berlubang dan paru-paru dijangkiti kuman.

Menurut Nurbaya, hanya Allah SWT mengerti betapa hancur hatinya apabila dimaklumkan pihak hospital bayi bongsu daripada tiga beradik itu menghidap jantung berlubang ketika berusia dua bulan.

Katanya, berat Rushdina 3.3 kilogram (kg) sewaktu dilahirkan dan selepas seminggu pulang ke rumah, dia terpaksa ke hospital semula kerana bayinya mengalami demam, batuk serta selesema teruk.

“Ketika dirawat di klinik kesihatan, bayi saya kelihatan lemah dan doktor memaklumkan jantungnya mengeluarkan bunyi yang tidak normal. Pihak hospital membuat imbasan pada tubuh anak saya dan mengesan terdapat masalah pada dengupan jantung,” katanya.

Katanya, dia dan suami Hamizi Baharudin buntu untuk mencari wang untuk membiayai perubatan anaknya itu yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Jika nak harapkan simpanan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, memang tidak cukup. Gaji bulanan dia pula hanya mencecah RM1,100 dan perbelanjaan keluarga pasti terjejas apabila mengasingkan wang rawatan anak,” katanya yang tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun bank Nurbaya iaitu 0530029000082206 (BSN) atau melalui akaun CIMB, 7023299411.

Bagi maklumat lanjut, Nurbaya boleh dihubungi melalui talian 0196928686 dan Hamizi, 0142656193.

myMetro 19 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment