February 8, 2016

Berpura-pura jumpa bayi baru lahir

BATU PAHAT - Seorang wanita berusia 27 tahun ditahan selepas dipercayai mengakibatkan kematian bayi lelakinya yang baru dilahirkan, kelmarin.

Wanita itu juga tidak mengakui bayi itu anaknya dan berpura-pura menemui bayi malang tersebut di hadapan sebuah stesen minyak di Yong Peng.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 malam selepas suspek datang sendiri ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dan menyerahkan bayi berkenaan.

“Wanita terbabit mendakwa menemui bayi tersebut di hadapan sebuah stesen minyak, namun maklumat diberikan meragukan menyebabkan pihak hospital menghubungi polis.

“Selepas siasatan dijalankan, wanita terbabit akhirnya mengaku bayi tersebut adalah anaknya yang baru dilahirkan di kediamannya di Yong Peng,” katanya.

Katanya, kandungan wanita terbabit berusia tujuh bulan dan turut ditemani teman lelakinya berusia awal 30-an ketika dia melahirkan bayi tersebut.

“Siasatan awal mendapati bayi cukup sifat itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Suspek masih ditahan bagi membantu siasatan dan kita turut memburu teman lelakinya bagi memberi keterangan lanjut,” katanya.

Din berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian 7 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment