February 19, 2016

Berkarya hingga akhir hayat


Kuala Lumpur: “Arwah mula dikesan menghidap kanser tiroid pada 2008 dan kesihatannya semakin merosot sejak hujung tahun lalu. Hampir lapan tahun arwah berjuang melawan penyakit itu,” kata Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) Tengku Iesta Tengku Alaudin, 40, anak sulung bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Tengku Alaudin Tengku Abdul Majid yang meninggal dunia petang kelmarin.

Allahyarham yang juga aktif sebagai pelukis meninggal dunia jam 6.20 petang di rumah mereka di Taman Sri Ukay, Ampang, di sini.

Allahyarham yang berusia 70 tahun meninggalkan balu Datin Shamsiah Mohamad, 66, serta lima anak iaitu Tengku Iesta, Tengku Ieras, 39, Tengku Iedil Putra, 32, Tengku Iefiz, 28, dan Tengku Iezah Diyana, 24.

Tengku Iesta berkata, selepas bersara bapanya aktif dalam kegiatan seni terutama melukis menggunakan cat air.

“Walaupun disahkan menghidap kanser, arwah gigih melukis kerana mencintai seni. Itu sebabnya kami adik-beradik ada mengikut jejaknya. Dia tidak melarang dan tidak juga menggalakkan. Prinsipnya apa kami buat pasti akan disokong.

“Ketika arwah sakit, kami sekeluarga sepakat memberikan rawatan terbaik buatnya. Rawatan dibuat di beberapa pusat rawatan tetapi, kebanyakannya di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang,” katanya ketika ditemui di majlis pengebumian bapanya itu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, di sini, petang semalam.

Tengku Iesta berkata, kali terakhir bapanya dimasukkan ke wad pada hujung tahun lalu dan selepas itu dia hanya berehat di rumah.

Majlis pengebumian turut dihadiri beberapa rakan seangkatan Allahyarham termasuk penggiat seni seperti Mamat Khalid, Gayatri Su-Lin Pillai dan pelakon Hairi Safwan Aznan.

myMetro 18 Februari 2016


Semoga rohnya dicucuri rahmat

Tengku Alaudin meninggal dunia semalam.

Kuala Lumpur: Bapa kepada Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Tengku Iesta Tengku Alaudin dan pelakon, Eidil Putra iaitu Datuk Tengku Alaudin Tengku Abdul Majid, 70, meninggal dunia akibat kanser tiroid, petang semalam.

Tengku Iesta ketika dihubungi berkata, bapanya meninggal dunia pada 6.20 petang semalam di rumah mereka di Taman Sri Ukay, Ampang, di sini.

"Kanser yang dihidapi arwah sudah merebak hingga ke tulang," katanya.

Tengku Iesta berkata, jenazah disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan, Hulu Klang pada jam 11 pagi hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, di sini, jam 3 petang hari ini.

myMetro 17 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment