February 29, 2016

Berdentum balik kerja

ANGGOTA polis memeriksa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Melaka: Seorang kakitangan sebuah pusat perubatan swasta maut apabila motosikal Kawasaki Ninja 250 yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tun Kudu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa, Afiq Azani Abdullah, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah oleh pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang bertugas di sebuah hospital swasta di Ayer Keroh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Merlimau, Jasin, sebaik tamat waktu bekerja.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Jai, berusia 30-an, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumahnya dan dikejutkan dengan bunyi deruman enjin disusuli dentuman kuat.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa tercampak lima meter, manakala motosikal mangsa terseret hampir 10 meter.

“Kejadian berlaku sekelip dalam mata dan penunggang itu dipercayai tidak sempat mengelak Proton Satria Neo yang membelok ke kanan.

“Kami tidak berani untuk mengangkat atau mengalihkannya ke bahu jalan kerana risau kecederaan dialaminya bertambah serius, bagaimanapun 10 minit kemudian, dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Satria Neo, seorang gadis berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Bukit Katil menghala ke Merlimau hilang kawalan dan berlanggar dengan Proton Satria Neo yang mahu membelok ke kanan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan muat itu.

“Kami meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian tampil segera bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 29 Februari 2016


Jururawat hospital tak sempat pulang ke rumah

Anggota JPAM membantu anggota polis untuk mengalihkan mangsa ke atas pengusung. Gambar kecil: Afiq Azani

BUKIT KATIL - Seorang jururawat lelaki tidak sempat pulang ke rumah apabila dia maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Tun Kudu di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Afiq Azani Abdullah, 22, yang baru selesai bekerja di Hospital Pantai di sini, dalam perjalanan pulang ke rumah di Merlimau, Jasin sebelum motosikalnya melanggar kereta jenis Proton Satria Neo, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam.

Afiq Azani yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja 250cc dikatakan datang dari arah persimpangan lampu isyarat Tun Kudu menghala persimpangan Jalan Ayer Molek / Jasin, sebelum melanggar kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun.

Saksi kejadian, Mohd Rashid Samad, 59, berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika sedang duduk berehat di halaman rumahnya yang bertentangan dengan sebuah kedai makan.

Menurutnya, kereta dinaiki dua wanita itu baru keluar dari kedai tersebut.

“Kereta dari bahu jalan masuk ke laluan menghala Ayer Molek. Kereta dipercayai hendak masuk simpang dekat rumah saya ini, sebab nak buat U turn. Memang biasa orang lalu buat U turn di sini.

“Ketika muncung kereta dah nak masuk laluan bertentangan, mereka berlanggar. Motor yang datang dari arah sama dan sedikit menuruni bukit dah masuk laluan bertentangan juga,” katanya.

Menurutnya, kedudukan motosikal dipandu Afiq Azani seolah-olah mahu mengelak kereta itu, namun mangsa dikatakan melambung kira-kira 5 meter dan motosikal tercampak 10 meter ke depan.

“Saya tak tengok keadaan mangsa tapi anak lelaki saya cakap mangsa masih bernyawa dan sempat anak saya memimpin dia mengucap syahadah sebelum pergi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 29 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment