February 29, 2016

Belasah isteri sampai mati

Ipoh: Seorang wanita ditemui mati selepas mengalami kecederaan teruk dan belumuran darah di muka dipercayai dipukul suaminya di sebuah rumah di Ladang Sengat, Simpang Pulai, dekat sini, 7.30 pagi tadi.

Mayat S Durga Devi, 17, ditemui terbaring di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan pada mukanya seperti ditumbuk.

"Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa di perkarangan rumah berkenaan kira-kira dua jam selepas siasatan dijalankan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati jiran pasangan itu ada terdengar mereka bertengkar lewat malam tadi dan jam 5 pagi tadi.

Katanya, polis percaya pertengkaran membabitkan masalah keluarga.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro 28 Februari 2016


Didakwa bunuh teman wanita

Ipoh: Penganggur lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya pada Februari lalu.

Tertuduh N Sanderasegaran, 28, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Dia dituduh menyebabkan kematian S Durga Devi, 17, di rumah di No 4 Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai, antara 11 malam 27 Februari hingga 6 pagi 28 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 11 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil laporan bedah siasat.

myMetro 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment