February 26, 2016

Badan membengkak sebelum lumpuh


Mohd Bakri (berkerusi roda) bersama Rozana (dua, kanan) dan enam anaknya di hadapan pondok yang dijadikan tempat mereka sekeluarga berteduh.

SEGAMAT - Seorang lelaki di Kampung Spang Loi, di sini, terpaksa mengharapkan bantuan isterinya untuk bergerak dan menguruskan diri selepas disahkan lumpuh separuh badan bermula daripada bahagian pinggang ke bawah pada Oktober tahun lalu.

Mohd Bakri Rahmat, 40, berkata, kini segala urusan rumah termasuk keperluan enam anaknya terpaksa ditanggung isterinya, Rozana Abdullah, 30, yang bekerja di sebuah kilang kayu di Batu Anam, di sini.

“Sebelum ni kami sekeluarga memang tinggal di sini dengan menumpang di rumah keluarga saya. Dahulu saya kerja sebagai pemandu lori, manakala isteri pekerja pembersihan di sebuah sekolah rendah, di sini.

“Namun, pada 2014 kami ambil keputusan tinggal di Melaka dan saya bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat swasta hampir setahun sebelum disahkan lumpuh tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, ketika di Melaka dia beberapa kali dikejarkan ke Hospital Melaka kerana mengalami sawan.

Mohd Bakri turut disyaki mengalami demam denggi sebelum penyakitnya itu bertambah serius apabila dia pengsan ketika sedang bekerja.

“Sewaktu di Hospital Melaka, doktor telah memasukkan sejenis ubat yang mengakibatkan badan saya membengkak sebelum disahkan lumpuh separuh badan dari bahagian pinggang hingga ke kaki.

“Saya kemudian ambil keputusan pulang ke kampung dan mahu cuba rawatan tradisional bagi mengelakkan penyakit ini melarat. Dengan bantuan seorang rakan, dia setuju hantar kami sekeluarga ke kampung.

“Di kampung, saya terpaksa tumpang rumah keluarga pada peringkat awal sebelum minta bantuan adik-beradik bina pondok menggunakan bahan terbuang bersebelahan rumah keluarga saya,” katanya.

Mohd Bakri berkata, apabila waktu malam, dia bersama isteri dan anak bongsunya yang berumur 7 bulan terpaksa menumpang tidur di rumah bapanya, Rahmat Mat Hassan, 80, kerana tidak mahu berhimpit bersama anaknya yang lain di dalam pondok tersebut.

“Lima lagi anak saya terpaksa tidur dalam pondok tersebut yang hanya ada sebuah bilik, selain terpaksa tarik bekalan elektrik dan air dari rumah bapa.

“Memang saya risaukan anak-anak apabila waktu malam, namun saya tiada pilihan. Rumah keluarga saya juga tak muat sekiranya semua anak saya tidur di sana kerana terdapat dua lagi keluarga.

“Pondok ni memang tak selesa dan tiada ciri keselamatan... apabila hujan, kami sekeluarga terpaksa letak besen atau baldi kerana kebanyakan bumbung dah bocor dan berlubang,” katanya.

Tambahnya, disebabkan hanya isterinya yang bekerja, anak sulungnya, Siti Zahrah, 13, terpaksa berhenti sekolah manakala dua lagi anaknya adalah murid pendidikan khas.

Sementara itu, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, beliau telah melawat keluarga  terbabit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah melakukan siasatan, selain menyumbang sebuah kerusi roda kepada Mohd Bakri.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban ditanggung keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Ambank milik Rozana bernombor (88810004044331) atau hubunginya di talian 0177312439.

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment