February 16, 2016

Anjing kecoh lihat ular sawa

Anggota bomba mengeluarkan ular sawa2 meter di dalam enjin kereta di hadapan rumah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Johor Bahru: “Saya pelik apabila anjing peliharaan masih menyalak sedangkan baru saja diberi makan,” kata R Umah, 38, yang terkejut selepas ular sawa sepanjang dua meter ditemui di kawasan rumahnya di Taman Bukit Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Umah berkata, biasanya jarang anjing peliharaannya berkelakuan begitu, tetapi keadaannya berbeza apabila tidak henti menyalak.

“Saya yang keluar memeriksa terkejut mendapati ular sawa melingkar di situ,” katanya.

Juruteknik itu berkata, dia kemudian mendapatkan bantuan suami, T Emmanuvel, 41, untuk menghalang ular sawa itu daripada memasuki rumah.

“Kami tergamam apabila saiznya sangat besar sebelum ular itu masuk ke bahagian enjin kereta jiran,” katanya.

Umah berkata, dia menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut kerana bimbang reptilia itu mengancam keselamatan penduduk.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Abdullah Sani berkata, sebuah jentera membabitkan lima anggota digerakkan untuk membantu mengeluarkan ular sawa itu.

“Kami mengeluarkan ular sawa berkenaan tanpa mencederakannya dan merosakkan kereta milik penduduk taman terbabit,” katanya.

myMetro 16 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment