February 16, 2016

Anak kapal dikhuatiri lemas

Chukai: Anak kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menjalani latihan keselamatan, 94 batu nautika dari perairan Kuantan, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku ketika empat anak kapal FMSUV SOS LEO dikatakan sedang menjalani latihan Fast Rescue Force dikendalikan syarikat Lunding Malaysia BV di pesisir pantai Bertam pada 12 tengah hari.

Sebaik menyedari kejadian itu, tiga rakan mangsa berusaha mencari mangsa dikenali sebagai Sudarmin Aminuddin berusia dalam lingkungan 30-an dan dipercayai dari Sabah.

Difahamkan, laporan kejadian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada 9.20 malam tadi sebelum kes berkenaan dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada APMM untuk tindakan lanjut.

myMetro 15 Februari 2016


'Ya Allah temukan anakku sama ada hidup atau mati'

Sadariah Rahim, 50, memegang gambar anaknya Sudarmin Aminuddin, 31, kru kapal 'FMSUV FOS LEO' yang terjatuh ke dalam laut ketika ditemui di kediamannya Kg. Kinabutan Kecil hari ini. - Foto Bernama

TAWAU - "Hanya doa dan bertawakal yang mampu saya lakukan agar anak saya segera ditemui sama ada dia masih hidup ataupun meninggal dunia," kata Sadariah Rahim, ibu kepada Sudarmin Aminuddin.

Sadariah, 50, yang ditemui di kediamannya di Kampung Kinabutan Kecil dekat sini hari ini, berkata anggota keluarganya juga meminta jemaah masjid di kampungnya mendoakan agar anaknya segera ditemui.

Sudarmin, 31, kru 'Floating Production Storage Off Loading Vessel (FPSO)' dari kapal 'FMSUV FOS LEO', dilaporkan jatuh ke laut, Ahad lepas pada 2.10 petang, di kawasan pelantar minyak Bertam, kira-kira 86.7 batu nautika (BN) dari Tanjung Berhala, Kemaman dan 5 BN dari sempadan perairan negara.

Sadariah berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh wakil dari pejabat Sudarmin bertugas di Singapura, kira-kira 3.30 petang pada hari kejadian.

Beliau berkata kali terakhir Sudarmin menghubunginya ialah pada Sabtu, iaitu sehari sebelum kejadian.

"Ketika dia menelefon, saya sedang solat Maghrib. Lepas solat, saya dapati ada empat panggilan tidak dijawab dari anak saya (Sudarmin). Saya kemudian hubungi dia. Tetapi Sudarmin minta saya letak telefon kerana dia akan hubungi saya kemudian," katanya.

Menurutnya, Sudarmin suka berjenaka setiap kali mereka berbual di telefon, dan ketika menghubungi Sudarmin buat kali terakhir, anaknya itu masih seperti biasa tetapi suaranya kurang bermaya seperti sedang mengalami selesema.

Difahamkan, Sudarmin telah bercerai dengan isterinya yang berasal dari Pahang beberapa tahun lepas dan mempunyai tiga anak lelaki berusia lima hingga sembilan tahun.

Sementara itu, kenyataan media Unit Perhubungan Awam Wilayah Maritim Timur (WILTIM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini, menyatakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Sudarmin bermula sejak dua hari lepas.

Menurut kenyataan itu, Sudarmin yang berasal dari Tawau, Sabah dikatakan sedang menjalani latihan menyelamat 'Fast Rescue Force' di atas kapal berkenaan sebelum terjatuh.

"Semasa kejadian, keadaan laut dengan ombak setinggi 1 hingga 1.5 meter manakala angin 20 hingga 30 kilometer sejam. TLDM Tanjung Gelang juga memaklumkan telah mengarahkan kapal KD Gempita ke lokasi kejadian untuk membantu operasi SAR," menurut kenyataan itu. - Bernama

16 Februari 2016


Mayat ditemui pada kedalaman 70 meter

Kuantan: Mayat Sudarmin Aminuddin, 31, yang dilaporkan terjatuh dari kapal FMSUV FOS LEO di 86.8 batu nautika dari Tanjung Berhala, Kemaman, Terengganu, Ahad lalu ditemui kira-kira jam 3.10 pagi tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, mayat mangsa yang berasal dari Tawau, Sabah dikesan pada kedalaman 70 meter di dasar laut menggunakan khidmat Kenderaan Kawalan Jauh (ROV).

Katanya, kerja menaikkan mayat anak kapal itu masih dijalankan dan perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan keadaannya terjejas.

"ROV akan memotong tali nilon yang terbelit pada kaki mangsa, apabila tali dipotong mayat akan timbul mengejut di permukaan laut," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa perlu dinaikkan dan dibawa balik segera memandangkan keadaan laut makin bergelora ketika ini dan Kapal KM Amanah sudah berada di lokasi penemuan untuk persediaan membawa ke pelabuhan," katanya.

myMetro 17 Februari 2016


Rupanya foto terakhir bersama arwah

KEMAMAN – "Kali terakhir pakcik dan isteri jumpa arwah, pada dua bulan lalu. Waktu itu dia sangat ceria terutama masa ambil gambar dengan kami...tak sangka ia foto terakhir kami bersamanya," luah Amiruddin Bachok, 57, bapa kepada anak kapal yang maut akibat terjatuh dari kapal FMSUV Fos Leo.

Mayat mangsa, Sudarmin Amiruddin, 30, yang tenggelam di dasar laut berkedalaman 70 meter berjaya dinaikkan ke atas kapal oleh penyelam profesional pada kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Mayat bapa kepada tiga anak itu tiba di Jeti Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal, di sini, pada kira-kira jam 5.30 petang sebelum di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.

Amiruddin yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu, kali terakhir dia dan isteri berjumpa anak ketiga mereka itu adalah ketika mangsa sedang transit di KLIA 2 untuk menaiki penerbangan ke Kuantan, Pahang, awal Disember lalu.

"Arwah dari Tawau dan mahu ke Kuantan untuk pulang bertemu isteri dan anak-anaknya. Hampir tiga jam pakcik dan isteri meluangkan masa bersamanya sebelum dia naik pesawat.

"Dua hari sebelum arwah terjatuh dari kapal...pakcik rasa gelisah. Arwah pun ada hubungi pakcik hari itu dan masih terngiang-ngiang pertanyaannya ketika itu.

"Dia tanya...keadaan bapak macam mana?... Sebab rasa tak sedap hati...pakcik pesan supaya dia berhati-hati masa bekerja," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubahan Forensik Hospital Kemaman, semalam.

Amiruddin tidak menduga kegelisahannya itu merupakan petanda dia akan kehilangan anaknya itu yang mula bekerja sebagai kru 'floating production storage off loading vessel' (FPSO) sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pekerjaan sebagai anak kapal itu menuntut anaknya berlajar selama tiga bulan sebelum pulang ke darat untuk berehat selama dua bulan dan kembali berlayar.

"Sekarang pakcik sekeluarga berasa lega kerana mayatnya sudah dibawa ke darat. Jenazahnya akan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung kami di Tawau, Sabah," katanya.

Sudarmin atau mesra dipanggil sebagai Yatok dalam kalangan keluarganya terjatuh ke dalam laut ketika sedang berkerja atas kapal dalam kejadian di kawasan pelantar minyak Bertam lebih kurang 86.7 batu nautika dari Tanjung Berhala, Kemaman, kira-kira jam 12 tengah hari pada 14 Februari lalu.

Pasukan penyelamat diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya berjaya mengesan dan menjumpai mayat mangsa pada 17 Februari lalu namun tidak dapat dinaikkan berikutan keadaan laut bergelora.

Pegawai Operasi Maritim Wilayah Timur, Leftenan Dya Mohd Shahrul Hanizan Abd Rahman berkata, usaha menaikkan mayat mangsa berjaya dilakukan pada jam 1 tengah hari semalam dengan menggunakan kepakaran penyelam profesional.

Sinar Harian 21 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment