February 22, 2016

Ambil upah menjahit sara anak

Rosmah perlu sentiasa berada di samping anaknya, Siti Nor Shafika yang lumpuh separuh badan sejak dilahirkan.

BOTA – “Saya hanya tahu menjahit, jika ada sesiapa yang mahu menempah, saya boleh jahitkan,” kata ibu tunggal, Rosmah Suhaimi, 46.

Ibu kepada lima anak ini mengakui hanya bergantung kepada pendapatan sebagai tukang jahit bagi menampung kehidupan mereka enam beranak selepas kematian suami, tahun lalu.

Menurutnya, keadaan anak keduanya, Siti Nor Shafika Mohamed, 19, yang lumpuh separuh badan sejak dilahirkan menyebabkan dia perlu melakukan kerja di rumah bagi memberi perhatian terhadap perkembangan kesihatan anaknya itu.

“Tempahan banyak diterima ketika musim raya sahaja dan pada waktu lain tidak ada tempahan diterima menyebabkan saya tak ada pendapatan,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim di kediamannya di Kampung Pasir Sena, Telok Bedayong.

Rosmah berkata, bantuan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitullaml sebanyak RM800 sebulan banyak membantu mengurus keperluan anak-anak berusia antara 6 hingga 21 tahun.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan ekonomi sekarang, dia perlu berjimat cermat terutama bagi memenuhi keperluan Siti Nor Shafika yang perlukan susu khas selain membeli lampin pakai buang sekurang-kurangnya RM750 sebulan.

“Saya tak boleh buat kerja lain, dengan menjahit sahaja dapat tampung perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Nasarudin berkata, lawatan ke rumah ibu tunggal itu dilakukan bagi melihat bentuk bantuan tambahan yang boleh dihulurkan.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan JKM serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan bagi mencari alternatif untuk menambah pendapatan melalui kemahiran sedia ada.

“Bukan sahaja bagi kes ini, malah ibu tunggal yang lain juga kita akan fikirkan alternatif bagi membantu mereka bekerja dari rumah kerana kebanyakan ibu tunggal ini tidak boleh bekerja di luar kerana komitmen kepada anak-anak,” katanya.

Sinar Harian 22 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment