February 16, 2016

Ajal terkena renjatan elektrik

Anggota tentera yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO ihsan bomba

Seremban: Anggota tentera maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memotong wayar di siling bangunan terbengkalai di Kem Tentera Darat Sikamat, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, Sarjan Mohd Zainal Zakaria, 29, ditugaskan memantau aktiviti gotong royong di kem berkenaan sebelum ditemui tidak sedarkan diri di atas siling bangunan berkenaan oleh anggota lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.36 tengah hari sebelum sebuah jentera dan empat anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik menyebabkan bomba terpaksa meminta bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong elektrik sebelum menyelamatkan mangsa.

"Mangsa berjaya diturunkan dalam tempoh 10 minit sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

myMetro 16 Februari 2016


Tentera meninggal atas siling bangunan

Mangsa diangkat oleh anggota bomba.

SEREMBAN - Seorang anggota tentera berpangkat sarjan meninggal dunia ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian siling sebuah bangunan di Kem Sikamat dekat sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, anggota tentera dari Kem Rasah di sini, Mohd. Zainal Zakaria, 29, meninggal dunia ketika berada pada ketinggian tiga meter.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mokhtar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 12.51 tengah hari.

"Seramai tiga anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba ke kem tersebut," katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk dibedah siasat. K! ONLINE

Kosmo 16 Feb 2016


0 comments:

Post a Comment