February 8, 2016

Ajal selamatkan abang ipar

ANGGOTA bomba menjalankan operasi SAR di lokasi Air Terjun Jalan Kampung Kabar, Sipitang. FOTO ihsan bomba

Sipitang: Niat murni seorang lelaki yang mahu menyelamatkan abang iparnya daripada lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Jalan Kampung Kabar, Sipitang, semalam, berakhir dengan tragedi memilukan apabila mayatnya ditemui pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Ridwan Saidin, 25, disahkan meninggal dunia selepas ditemui anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang.

Mangsa bersama abang ipar dan beberapa ahli keluarga lain dikatakan sedang mandi-manda di Air Terjun berkenaan sempena cuti Tahun Baru Cina.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mohd Rizzan Jefri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.25 petang semalam, sebelum satu jentera dan EMRS bersama tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan kerana faktor cuaca dan keadaan persekitaran yang merbahaya kepada anggota bomba.

"SAR yang dijalankan hari ini akhirnya berjaya menemui mangsa tidak jauh dari lokasi dilaporkan lemas jam 8.37 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Abang ipar mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

myMetro 8 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment