February 11, 2016

Ajal penunggang motosikal berkuasa tinggi

Azizan (gambar kecil) maut, motosikal ditunggang bertembung dengan kereta. FOTO ihsan bomba dan PDRM

Padang Besar: Lelaki berusia 51 tahun maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang bertembung dengan kereta di Jalan Ulu Pauh-Padang Besar berhampiran Bulatan Kilang Gula, Chuping, malam tadi.

Dalam kejadian 7.16 malam itu, mangsa, Azizan Darus, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menunggang motosikal jenis Triumph Tiger 800 cc dalam perjalanan dari Padang Besar ke Ulu Pauh cuba memotong sebuah kenderaan di laluan yang sama.

Ketua Trafik Padang Besar Asisten Superintendan Shamsuddin Ali berkata, ketika memotong kenderaan itu, mangsa gagal melihat sebuah kereta Nissan Almera yang berada di laluan bertentangan menyebabkan mangsa bertembung dengan kereta itu.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan motosikalnyaturut terbakar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Nissan Almera yang berusia 32 tahun dari Alor Setar, Kedah tidak cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat dan dijangka dibawa ke kediamannya di Desa Bayan, Jalan Merbah di Bayan Lepas, Pulau Pinang, esok.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 10 Feb 2016



0 comments:

Post a Comment