February 20, 2016

Ajal ke majlis nikah abang

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Shamsudin Husin

Chukai: Pemuda maut dan abangnya cedera selepas kereta dinaiki bertembung kenderaan lain di Kilometer 126.6 Jalan Kuala Terengganu-Kemaman di Kemasek, di sini, 3.20 petang tadi.

Mangsa, Che Wan Fadhlul Wafi Che Wan Razali, 20, dari Kijal yang duduk di tempat penumpang depan Satria Neo dipandunya abangnya, Che Wan Mohd Farhan, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kereta mereka dikatakan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga BLM.

Kejadian itu juga menyebabkan penumpang Proton Saga BLM berkenaan yang belum dikenal pasti identitinya cedera manakala pemandunya terselamat.

Difahamkan, dua beradik berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri majlis pernikahan seorang lagi adik beradik mereka, Che Wan Fadhlul Hadi, 24, tidak jauh dari kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan mangsa yang meninggal dunia dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kemaman.

myMetro 20 Februari 2016


Adik pengantin maut nahas

Anggota bomba hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa maut yang tersepit di tempat duduk penumpang depan.

KEMAMAN - Niat dua adik pengantin untuk pulang mengambil kad pengenalan abang mereka yang tertinggal di rumah bertukar kisah duka apabila kereta Proton Satria Neo dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain.

Nahas pilu itu menyebabkan salah seorang adik pengantin lelaki itu, Che Wan Fadhlul Wafi Che Wan Razali, 20, maut sementara tiga yang lain cedera.

Kemalangan berlaku di Kilometer 126.6 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara Kemasik kira-kira jam 3 petang semalam.

Kejadian dikatakan berlaku ketika Che Wan Fadhlul Wafi dan abangnya yang memandu, Che Wan Mohd Farhan, 30, mahu berpatah semula ke rumah mereka di Kampung Titian Berayun, Kijal untuk mengambil MyKad abang mereka yang terlebih dahulu tiba di Masjid Kampung Semayor, Kemasik untuk majlis akad nikah.

Dipercayai semasa membelok kenderaan mereka bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dari arah Kemasik ke Chukai yang dinaiki Sirajuddin Ismail, 30, dan seorang penumpang, Siti Zaleha Mat, 31.

Akibat pertembungan itu bahagian hadapan Proton Saga dan bahagian kiri Satria Neo remuk menyebabkan Che Wan Fadhlul Wafi tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Mangsa yang meninggal dunia dikeluarkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh yang bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sebuah jentera dan 10 anggota.

Komander Operasinya, PBK II Mohd Nazri Ahmad berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sementara tiga lagi mamgsa lain dikeluarkan oleh orang awam.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang kebetulan melalui kawasan itu ketika kejadian turut membantu mengeluarkan mangsa dan mengawal lalu lintas.

Katanya, bentuk jalan di kawasan kemalangan berselekoh dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kemalangan.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan segera sementara mangsa maut dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, hospital sama untuk bedah siasat.

Sinar Harian 20 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment