February 8, 2016

Abang maut dihentam pikap

Penumpang MyVi terbunuh manakala pemandu dan seorang seorang lagi penumpang serta pemandu pilap cedera. - Foto ROSLI ILHAM

Keadaan pikap Hilux yang terbalik selepas merempuh MYVi yang keluar dari simpang di Dungun, pagi tadi.

Dungun: Seorang penumpang kereta berusia 36 tahun maut selepas kereta Perodua MyVi dipandu adik perempuannya, dirempuh sebuah pikap di Kilometer 67 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Batu Tiong, di sini, 11 pagi tadi.

Wan Mohd Khairuddin Wan Mohamed dari Taman Sungai Jeluk, Kajang, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua MyVi dipandu adik mangsa, Saadiah Wan Mohamed, 20, keluar dari satu persimpangan apabila dirempuh sebuah Toyota Hilux yang datang dari arah Kuala Terengganu. Rempuhan kuat itu menyebabkan pikap berkenaan terbalik.

Seorang lagi penumpang Perodua MyVi itu, Salbiah Hussin, 65, iaitu ibu mereka serta Saadiah cedera parah manakala pemandu Hilux, Muhammad Hafizuddin Ramli, 23, dari Belukar Jambu, Kuala Terengganu, juga cedera.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

myMetro 7 Februari 2016


Lelaki maut, ibu dan adik cedera parah dalam kemalangan di Dungun

DUNGUN - Seorang lelaki maut manakala ibu dan adik perempuannya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 67, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Batu Tiong, di sini hari ini.

Wan Mohd Khairuddin Wan Mohamed, 35, disahkan meninggal dunia sejam selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Dungun.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, tiga beranak terbabit yang berasal dari Selangor dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu adik Wan Mohd Khairuddin, Saadiah, 20, bertembung Toyota Hilux dipandu Muhammad Hafizuddin Ramli, 23, yang datang dari arah Kuala Terengganu.

Saadiah dan ibunya Salbiah Hussin, 56, kini dirawat di hospital sama manakala Muhammad Hafizuddin hanya cedera ringan.

Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Kamaludin Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kemalangan itu. - Bernama

7 Feb 2016


Paha berlipat atas perut

Dungun: “Kami terpaksa mengangkat mangsa lelaki berhati-hati memandangkan paha kanannya patah dan berlipat di atas perutnya. Dia ketika itu tidak sedarkan dan kepalanya berlumuran darah,” kata Mohd Adam Alwi, 45, saksi kejadian kemalangan maut di Kilometer 67, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Batu Tiong, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 11 pagi, Wan Mohd Khairuddin Wan Mohamed, 36, maut sejurus kereta Perodua Myvi dipandu adiknya dirempuh pacuan empat roda.

Adiknya, Saadiah Wan Mohamed, 20, dan ibunya, Salbiah Hussin, 56, yang duduk di sebelah penumpang depan parah dalam kejadian itu.

Mohd Adam berkata, dia minum di warung berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman perlanggaran.

“Saya bergegas keluar dari kedai dan mendapati dua kenderaan remuk. Saya lihat penumpang kereta Myvi meraung kesakitan selepas perutnya tertikam serpihan papan pemuka kenderaan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama penduduk kampung berusaha mengeluarkan penumpang belakang kereta terlebih dahulu memandangkan keadaan mangsa kritikal.

“Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan mangsa meninggal dunia sebaik tiba mendapatkan rawatan di Hospital Dungun,” katanya.

Difahamkan, tiga beranak terbabit dari Taman Sungai Jeluk, Selangor dan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.

Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Myvi terbabit bertembung pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun dari Kuala Terengganu.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda terbabit terbalik dalam keadaan keempat-empat tayarnya ke atas.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

myMetro 8 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment