February 8, 2016

80 kediaman terjejas bah

Air limpahan longkang besar akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam di sekitar Batu Anam, Segamat.

Segamat: Sebanyak 80 kediaman di sekitar Batu Anam di sini, dinaiki air sehingga kira-kira satu meter akibat hujan lebat berterusan selama lima jam bermula jam 4 petang, kelmarin.

Kejadian itu mengakibatkan penduduk mengalami kerugian berikutan gagal menyelamatkan pelbagai kelengkapan rumah termasuk peralatan elektrik.

Mangsa, Onn Saaban, 52, berkata, hujan berterusan dalam tempoh panjang itu mengakibatkan air longkang melimpah ke dalam rumahnya hingga merosakkan harta benda.

Katanya, dia menyedari kawasan rumahnya dinaiki air kira-kira jam 10 malam.

“Akibat hujan berterusan sehingga jam 8 malam itu, air banjir melimpah ke dalam rumah setinggi satu meter mengakibatkan kami gagal menyelamatkan harta benda.

“Kebanyakan barangan diletakkan di atas lantai seperti permaidani, perabot dan almari hiasan, periuk nasi elektrik dan peti sejuk,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Lang di Batu Anam, Segamat di sini, semalam.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip dan anggota Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM) Daerah Segamat, meninjau kediaman penduduk yang ditenggelami banjir kilat hingga merosakkan harta benda termasuk perkakasan rumah.

Onn berkata, dia mengharapkan pihak berwajib mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan masalah sama berulang.

“Kerugian dialami bukan sedikit, malah kami terpaksa membersihkan kediaman daripada sisa lumpur.

“Harapan kami supaya isu itu diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Paya Lang, Sulaiman Bahadon, 52, berkata, pihaknya sudah memaklumkan bilangan kerosakan rumah penduduk yang terbabit dalam kejadian banjir itu.

“JPAM di Segamat membantu mangsa banjir, selain akan mengemukakan laporan penuh mengenai kejadian itu kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya,” katanya sambil menambah sebanyak 50 kediaman penduduk terjejas teruk akibat kejadian itu.

Zahari berkata, pada masa sama, kira-kira 30 kediaman penduduk berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berkenaan dilimpahi banjir sedalam 0.3 meter.

“Antara inisiatif jangka pendek dilakukan dalam masa terdekat dengan kerjasama Biro Kebajikan UMNO Bahagian Segamat adalah membina tembok penahan air di bahagian pintu hadapan dan belakang setinggi kira-kira 0.5 meter.

“Ia bagi menyekat kemasukan limpahan air ke dalam kediaman penduduk di kawasan berisiko,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai JPAM Daerah Segamat, Staff Muda (SM) Mohd Nazlan Roslan, berkata seramai 10 anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Batu Anam Segamat kira-kira jam 2 pagi, semalam.

“Usaha dilakukan untuk membantu memindahkan barangan milik penduduk ke lokasi selamat bagi mengelak kerugian besar,” katanya.

myMetro 7 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment