February 19, 2016

6 kenderaan terbakar dalam tempoh 5 jam


KENDERAAN yang musnah dipercayai angkara perbuatan khianat di Taman Orkid awal pagi semalam.

Sungai Buloh: Mungkinkah berpunca akibat ‘khianat api’? Itu persoalan ditimbulkan apabila enam kenderaan terbakar mendadak dalam tempoh lima jam di tiga lokasi berasingan.

Dalam kejadian pertama di kawasan parkir Taman Desa Coalfield, Sungai Buloh, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima terbakar mendadak.

Bagaimanapun tindakan pantas bomba dan penyelamat Sungai Buloh berjaya memastikan kebakaran itu tidak merebak ke kenderaan berhampiran.

Difahamkan kenderaan itu diletakkan mangsa dalam keadaan enjin tertutup di kawasan kejadian.

Kebakaran kedua dilaporkan berlaku pada jam 2.48 pagi semalam apabila sebuah kereta model Nissan Cefiro terbakar di hadapan sebuah rumah terletak di Kampung Kubu Gajah di sini.

Punca kebakaran bagaimanapun masih gagal dikenal pasti berikutan pemilik kenderaan dikatakan sedang berehat di dalam rumah.

Kejadian ketiga dilaporkan berlaku di Taman Orkid, Batu 9, Kajang, apabila sebuah kereta dan tiga motosikal musnah dalam kebakaran jam 3 pagi itu.

Difahamkan sebuah kenderaan model Toyota Innova serta tiga motosikal terbakar mendadak menyebabkan pemilik mengalami kerugian hampir RM100,000.

Kebakaran itu juga turut memusnahkan sebahagian stor barang milik penyewa sebuah rumah kedai serta seekor anjing peliharaan di kawasan berhampiran.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.01 pagi semalam.

“Seramai lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

myMetro 18 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment