February 1, 2016

16 tahun berteman lilin

FATONAH cari tin kosong tampung belanja seharian.

Kota Bharu: Rumah disewa pada harga RM50 sebulan tanpa bekalan elektrik, namun itu sudah dianggap mewah oleh dua beranak di Berek 12, di sini.

Fatonah Jusoh, 61, berkata, dia sudah 16 tahun menghuni kediaman itu bersama anaknya, Wan Deraman Wan Ismail, 37, dan hanya bertemankan lilin sepanjang malam.

Katanya, meskipun kediaman itu serba kekurangan, dia tetap bersyukur kerana masih mempunyai tempat untuk berteduh daripada panas dan hujan.

“Hanya rumah ini yang mampu saya dan anak diami kerana sewa bulanannya RM50 sahaja. Tak selesa pun, tetapi kami bersyukur kerana masih punyai tempat untuk berteduh.

“Selepas berpisah dengan bekas suami lebih 20 tahun lalu, saya menetap dengan anak di sini dan dia menjadi penanggung keluarga dengan pendapatan sekitar RM100 sebulan hasil kerja kampung.

“Jika ada kerja, dapatlah upah, jika tak, tiada apa-apa. Kami terpaksa berjimat dalam penggunaan duit untuk mengelak bekalan harian terputus,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, bagi membantu meringankan beban anaknya, dia turut mengutip tin kosong di sekitar bandar sebelum dijual kepada peniaga kitar semula.

“Mencari tin kosong sudah menjadi rutin harian saya. Walaupun orang memandang serong pekerjaan ini, namun saya tidak pernah berasa malu untuk menyelongkar tong sampah kerana ini punca pencarian demi mencari sesuap nasi,” katanya.

Fatonah turut bersyukur kerana sehingga kini masih menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

“Bantuan itu membolehkan kami meneruskan kehidupan,” katanya.

myMetro 1 Feb 2016



0 comments:

Post a Comment