January 21, 2016

Warga emas maut motor terbabas

ANGGOTA perubatan memeriksa keadaan mangsa yang terbabit nahas berhampiran Taman Balai Panjang Indah.

Melaka: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Balai Panjang Indah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, mangsa Mohamad Jusoh, 71, dari Batu 14, Kelemak, Alor Gajah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka (HM).

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan dari Lebuh AMJ menghala ke pusat bandar sebelum terbabas.

“Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian dan terbabas ke bahu jalan.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian serta keadaan motosikalnya, mangsa dipercayai terbabas dan tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah di kepala dan beberapa bahagian badan dikejarkan ke HM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.55 pagi ketika menerima rawatan di HM sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Assisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 21 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment