January 13, 2016

Wanita trauma diacu pistol depan taska

SKUDAI – Seorang wanita trauma apabila tiba-tiba diacu pistol oleh dua lelaki bertopi sebaik sahaja dia menghantar anaknya berusia 3 tahun di taska di Bandar Kangkar Pulai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, wanita berusia 32 tahun itu hanya mampu melihat kereta jenis Perodua Myvi miliknya dilarikan kedua-dua suspek berkenaan.

Suami mangsa yang hanya ingin dikenali Mohd Azizul, 34, berkata, ketika kejadian, anak bongsu mereka mengayuh basikal ke taska berkenaan, yang terletak berhampiran rumah mereka sambil diekori isterinya yang memandu kereta.

“Ketika sampai di taska, anak kami terus masuk ke dalam taska dan isteri bawa beg pakaian sekolah anak dan barang yang perlu ditinggalkan di taska.

“Apabila isteri ingin kembali semula ke kereta, ada seorang lelaki telah berada di keretanya dan mengarahkan dia ke tepi sambil mengacukan pistol dan ancam untuk menembaknya,” katanya.

Menurutnya, isterinya yang ketakutan terus berlari ke dalam taska dan salah seorang penjaga taska turut membawa masuk kanak-kanak yang berada di luar premis itu.

“Ada ibu bapa yang tiba tidak lama sebelum kejadian itu beritahu, ada ternampak sebuah Perodua Myvi berwarna ungu diparkir berdekatan taska dan seorang lelaki datang menuju ke arah taska.

“Mujur isteri dan anak saya selamat tetapi dia turut kehilangan beg tangan yang mengandungi telefon bimbit, kad pengenalan dan dokumen penting lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi menjejaki dua suspek terlibat dalam kejadian  itu.

“Salah seorang suspek mengacukan senjata menyerupai pistol ke arah mangsa manakala seorang lagi menunggu dalam Perodua Myvi berwarna ungu.

“Ketika kejadian, enjin kereta mangsa dalam keadaan hidup dan suspek didapati berbadan tegap dan dianggarkan berusia antara 25 hingga 30 tahun," katanya.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment