January 18, 2016

Wanita hamil pitam dibelasah kekasih suami


Rawang: Azab seksa ditanggung wanita mengandung enam bulan apabila dibelasah hingga pitam oleh perempuan simpanan suaminya.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa berusia 26 tahun ditumbuk suspek di rumahnya berhampiran Taman Pelangi, Rawang, di sini.

Sumber polis berkata, mangsa dibelasah wanita berusia 20-an itu selepas dia meminta penjelasan suspek berhubung ‘cinta gelap’ itu.

“Malangnya dia dipukul perempuan simpanan suaminya sebaik meminta wanita itu tidak mengganggu rumahtangganya.

“Lebih malang suspek dikatakan menumbuk perut mangsa yang mengandung selain menghamburkan kata-kata kesat terhadap mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa turut dicerca suaminya yang menyebelahi kekasih gelapnya.

“Dalam kejadian awal minggu ini, mangsa cedera selepas suaminya memukul dan memulas tangan mangsa apabila diminta memberi penjelasan.

“Suami mangsa seolah-olah tidak mempedulikan keadaan isterinya yang mengandung enam bulan,” kata sumber kepada Harian Metro.

Mangsa dikatakan kerap dipukul suaminya sebaik mangsa mengetahui hubungan gelap itu sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan laporan polis dibuat mangsa.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

myMetro 15 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment