January 27, 2016

Wang ke China tak cukup


Kuala Lumpur: “Pada mulanya saya tidak dapat terima hakikat anak menghidap penyakit kegagalan fungsi hati dan sering menyalahkan takdir.

“Namun atas pujukan suami akhirnya saya terima ketentuan itu dan reda dengan ujian Allah,” kata Norashikin Gzali,32.

Norashikin ibu kepada bayi Muhammad Fakhrullah Rayqal Mat Tarmizi yang berusia lima bulan yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 18 Januari lalu.

Berkongsi kisah sedih hidupnya, Norashikin berkata, anaknya disahkan oleh pakar perubatan PPUM menghidap penyakit itu berdasarkan ujian sampel hati yang mendapati organ berkenaan bengkak ketika usianya dua bulan.

Menurutnya, ujian terbabit dilakukan selepas bacaan kuning anaknya tidak berkurangan sejak dilahirkan yang ketika itu turut menghidap penyakit Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase (G6PD) iaitu satu penyebab penyakit kuning.

“Anak saya kemudian menjalani pembedahan bagi membuang sistem hempedu luar dan usus kecil disambungkan ke porta hepatis untuk mengurangkan penyakit berkenaan pada November lalu.

“Malangnya penyakit itu tidak menunjukkan tanda pulih termasuk tiada perubahan pada bacaan jaundisnya (kuning) yang mencecah 300,” katanya.

Wanita yang menetap di Batu Pahat, Johor itu berkata, berikutan itu pakar perubatan mencadangkan anaknya menjalani pemindahan hati secepat mungkin bagi menyelamatkan nyawanya.

“Saya bersyukur apabila suami , Mat Tarmizi,39, sesuai menjadi penderma hati kepada anak kerana jenis darah mereka (suami dan Muhammad Fakhrullah Rayqal) sama iaitu B+.

“Pembedahan ini akan dilakukan di China pada Mac depan, tetapi berhadapan kesulitan berikutan kekurangan wang kerana kosnya dianggarkan RM160,000,” katanya menahan sebak.

Katanya, mereka dijangka berada di negara berkenaan selama sebulan dan pekerjaan dia serta suami sebagai kakitangan awam tidak mungkin boleh mengumpul wang berkenaan dalam tempoh singkat.

“Saya merayu kepada orang ramai supaya dapat menghulurkan sumbangan supaya pembedahan ini dapat dilakukan mengikut perancangan,” katanya menahan sebak.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank miliknya 501440135526 atau akaun Maybank suaminya 501440135519.

myMetro 27 January 2016


0 comments:

Post a Comment