January 11, 2016

Tragedi tangki najis


Mangsa dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia. FOTO ihsan bomba

Klang: Lelaki warga Kemboja berusia 53 tahun pengsan dan terjatuh ke dalam tangki najis rumah kedai di Jalan Tengku Kelana, Taman Sri Istana, dekat sini, sebelum disahkan meninggal dunia petang tadi.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, Mohamath Sofiyen bersama seorang rakannya iaitu lelaki warga tempatan melakukan kerja pembersihan di tangki berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.14 petang dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 11 Abdul Shokry Mohammad Noor segera ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Sebelum kejadian rakan mangsa berada di atas manakala mangsa masuk ke dalam tangki najis itu.

"Mangsa dipercayai terhidu sejenis bau yang menyebabkannya pengsan sebelum terjatuh ke dalam tangki yang mempunyai kedalaman satu meter itu," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba kemudian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut.

myMetro 10 Jan 2016




0 comments:

Post a Comment