January 5, 2016

Tragedi awal pagi

KEADAAN kereta yang remuk selepas kemalangan di Bukit Kelawat, Kota Belud.

Kota Belud: Perjalanan pulang tiga sahabat ke rumah mereka di Kampung Lentigi di sini, berakhir dengan tragedi apabila kereta Perodua Viva dinaiki terbabas lalu merempuh benteng besi penghadang jalan menyebabkan dua daripada mereka parah dalam kejadian di Jalan Bukit Kelawat di sini, jam 4.20 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, pemandu, Samri Salung, 22, cedera di dada dan Ishak Jamdi, 23, patah kaki kiri akibat tersepit sebelum diselamatkan oleh anggota bomba. Kedua-duanya dibawa ke Hospital Daerah Kota Belud untuk rawatan.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang dari Tuaran dan sebaik menuruni Bukit Kelawat, Samri mungkin hilang kawalan sebelum terlanggar benteng besi penghadang jalan di laluan berkenaan.

Kesan rempuhan mengakibatkan kedua-dua mangsa parah akibat tersepit manakala seorang lagi rakan mereka yang duduk di tempat duduk belakang cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Keadaan mangsa yang parah kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Daerah Kota Belud. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 4.32 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

myMetro 4 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment