January 21, 2016

‘Tolong bantu Qaisara pulih’


Che Rohyati bersama Ahmad Ariffin serta anak tunggalnya yang mengidap penyakit kegagalan fungsi hati dan memerlukan kos rawatan sebanyak RM300,000.

MENTAKAB –  Sepasang suami isteri, di sini, merayu sumbangan ramai bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati anak tunggalnya yang berusia satu setengah tahun selepas disahkan doktor mengidap penyakit kronik kegagalan fungsi hati.

Ahmad Ariffin Abd Hamid, 43, yang bekerja di stesen minyak Petronas di Mentakab dan isterinya Che Rohyati Mohamad 37, seorang suri rumah merayu sumbangan itu memandangkan kos pembedahan di sebuah hospital di India itu mencecah RM300,000.

Ahmad Ariffin berkata, anak perempuannya Qaisara Batrisya adalah satu-satunya cahaya mata yang ada selepas isterinya dua kali keguguran selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, anaknya mengidap penyakit kronik ‘Biliary Atresia’ atau kegagalan fungsi hati sejak dilahirkan iaitu selepas diserang sakit kuning yang lama.

“Selepas dua bulan menerima rawatan di Hospital Temerloh, sakit kuning masih tidak berkurangan dan pihak hospital menyarankan anak saya buat pemeriksaan pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Setelah beberapa ujian di HKL, pakar mengesahkan anak saya mengidap penyakit kronik ini dan ketika umurnya genap tiga bulan, anak saya menjalani pembedahan pertama membuang hempedu yang rosak.

“Doktor juga memaklumkan hati anak saya juga telah rosak, selepas dua minggu menjalani rawatan di HKL anak dibenarkan pulang tetapi perlu datang sebulan sekali untuk rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Bukit Bendera, di sini semalam.

Baru kumpul RM25,000

Sementara itu, Che Rohyati berkata, buat masa sekarang anaknya bergantung pada lima jenis ubat-ubatan yang dimakan setiap hari.

Menurutnya, bagi menjaga anaknya, Che Rohyati mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi sepenuh perhatian pada anaknya yang memerlukan 15 lampin pakai buang setiap hari.

Che Rohyati berkata, selepas mendapatkan nasihat dan pandangan beberapa pakar dan ibu bapa yang mempunyai anak mengidap penyakit sama, dia memutuskan untuk membuat pemindahan hati di India secepat mungkin.

Menurutnya, kos keseluruhan termasuk rawatan selepas pembedahan yang diperlukan adalah sebanyak RM300,000 dan sehingga kini wang yang berjaya dikumpul untuk tujuan pembedahan yang dijangka dibuat di India itu adalah sebanyak RM25,000.

Katanya, pembedahan perlu dilakukan segera memandangkan kesihatan anaknya semakin merosot dan bacaan bilirubin tidak menunjukkan penurunan.

“Disebabkan tidak mahu menunggu lama mencari penderma hati, saya ambil keputusan jadi penderma sebahagian daripada hati saya untuk anak tunggal saya ini,” katanya.

Che Rohyati berkata, sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Maybank 106026037788 atau akaun BSN 0650041000046896 atas namanya.

Ikhtiar jual nasi lemak

Menurutnya, sebelum ini beberapa pihak seperti Puteri Umno Temerloh mengadakan kutipan derma di beberapa kawasan untuk menampung kos rawatan anaknya itu.

“Melalui lama sosial Facebook dan aplikasi WhatsApps juga kami menerima sumbangan daripada banyak pihak sebelum ini dan semua kutipan akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembedahan tersebut.

“Jiran-jiran juga banyak membantu mengurangkan beban keluarga kami, saya juga akan berikhtiar sendiri menjual nasi lemak mengikut kemampuan untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Che Rohyati berkata, sumbangan daripada semua pihak amat dihargai memandangkan harapan untuk melihat anak tunggalnya hidup seperti kanak-kanak normal lain sangat tinggi.

“Saya mohon jasa baik seluruh rakyat Malaysia membantu kami sekeluarga untuk melihat anak saya normal seperti anak orang lain,” katanya.

Sinar Harian 18 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment