January 5, 2016

Tiga suspek samun dicekup

Johor Bahru: Dua lelaki dan seorang wanita ditahan polis kira-kira 10.45 malam tadi selepas disyaki terbabit dalam satu kejadian samun yang menyebabkan kerugian RM40,000 termasuk sebuah kereta di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, tiga suspek berusia 17 hingga 23 tahun itu ditahan selepas anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di Jalan Tegap, Taman Gaya di sini, ternampak kenderaan dinaiki suspek yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan terbabit.

Beliau berkata, anggota polis bertindak mengepung kereta terbabit dan memberhentikannya sebelum membuat pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki tiga suspek dan mendapati ia masih dilaporkan hilang bersabit satu kes samun yang disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mendapati kenderaan itu dilarikan suspek dalam kejadian kes samun kira-kira 3.30 pagi, Jumaat lalu, daripada lelaki yang baru keluar dari bank di Jalan Meranti Merah di sini.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang hendak masuk ke dalam keretanya tiba-tiba didatangi dua lelaki menaiki motosikal sebelum seorang daripadanya membuka pintu kereta yang dipandu mangsa dan menarik mangsa keluar daripada kereta," katanya.

Sulaiman berkata, suspek yang bertindak memukul mangsa kemudian menaiki kereta mangsa dan membawa lari kenderaan itu bersama barang milik mamgsa dan syarikatnya termasuk sebuah telefon bimbit, invois syarikat, cek serta pelbagai lagi invois yang semuanya dianggarkan bernilai RM40,000 termasuk kereta itu.

myMetro 4 January 2016

0 comments:

Post a Comment