January 18, 2016

Tiga parah diserang kumpulan bersenjata

Kuala Lumpur: Tiga lelaki cedera parah diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Mohd Ali Thamby berkata, dalam kejadian 5.10 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dan seorang lagi rakan berhenti mengisi minyak kereta naiki di stesen minyak itu apabila didatangi 10 lelaki bersenjatakan parang.

"Mereka menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan. Tiga mangsa dikejarkan ke hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), manakala seorang lagi rakan mangsa sempat melarikan diri.

"Motif kejadian adalah samun dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa dan suspek berumur antara 20-an hingga 30-an

Susulan kejadian itu, polis menahan dua suspek selepas lima daripada mereka diserang sekumpulan lelaki lain di Dataran Pelangi Utama, 9 pagi tadi.

Mohd Ali berkata, dalam kejadian kedua itu, suspek diserang 10 lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa samun di stesen minyak awal pagi tadi.

Katanya, tiga daripada suspek meloloskan diri namun polis menahan dua suspek yang cedera akibat diserang kumpulan berkenaan menggunakan senjata tajam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - Bernama

myMetro 17 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment