January 21, 2016

Terkandas tiga jam di tiang lampu

PEKERJA diturunkan selepas beg angin diletakkan. FOTO ihsan Bomba

Johor Bahru: Dua pekerja kontraktor diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas terkandas lebih tiga jam pada tiang lampu setinggi 40 meter ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di stadium universiti di Skudai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, dua pekerja berusia 22 dan 23 tahun itu terkandas dan hanya diturunkan dengan selamat pada 4.55 pagi.

Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.43 pagi dan seorang pegawai dengan kekuatan lapan anggota bomba tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

"Kita dimaklumkan bahawa gear pada peralatan yang digunakan mangsa rosak dan mereka tidak berani untuk turun menggunakan brek secara manual.

"Bagaimanapun, apabila kita meletakkan beg angin untuk memastikan mangsa selamat, mangsa yakin untuk turun perlahan-perlahan sebelum diselamatkan pada 4.55 pagi," katanya.

myMetro 21 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment